Pages

Pages

Saturday, January 22, 2011

ASAS PENDIDIKAN PEMULIHAN


1.    ASAS PENDIDIKAN PEMULIHAN
1.1. DEFINISI DAN KONSEP PEMULIHAN
1.1.1.   DEFINISI

·         Pringle (1966) : Pengajaran yang mempunyai pendekatan khas yang diperlukan oleh semua murid yang mundur dalam satu-satu mata pelajaran serta berkemahuan dan berkebolehan belajar,melalui latihan yang sistematik dan dapat memenuhi keperluan-keperluan mereka.
·         Tansley (1967) : Satu bentuk pengajaran yang mengutamakan langkah-langkah yang benar-benar teliti dan sistematik bagi membolehkan pengajaran pemulihan dijalankan dengan tersusun.
·         Persatuan Pendidikan Pemulihan Kebangsaan (NARE) UK (1975) : Satu program pengajaran khas yang dirangka bagi memenuhi keperluan pendidikan bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran dalam kalangan murid-murid di sekolah-sekolah biasa.
·         Albertwhite (1977) : Pengajaran pemulihan ialah suatu bentuk pengajaran yang diperlukan oleh kanak-kanak yang bersifat ketidakupayaan yang disertai oleh gangguan-gangguan emosi.
·         Ishak Harun & Koh Boh Boon (1983 : 191) : Perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah-masalah pembelajaran di sekolah-sekolah biasa.
·         Sharifah Alwiah Alsagoff  (1983 : 371) : Satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.
·         Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (1984) : Langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira hendaklah dipulihkan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan dan ditentukan.
·         Bahagian Sekolah-sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (1986) : Satu usaha dalam pendidikan untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah, khususnya ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, dibawah kelolaan guru-guru pemulihan yang menerima latihan khas dalam bidang ini.

1.1.2.   KONSEP

·         Program Pemulihan Khas ialah satu usaha mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.
·         Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu cabang daripada sebahagian pendidikan imbuhan.Ianya juga disebut sebagai ‘Remedial education’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja.Pendidikan Pemulihan berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa.
·         Guru yang mengajar kelas pemulihan adalah guru yang terlatih khas untuk kelas pemulihan. Kelas pemulihan selalunya lebih kecil daripada kelas biasa. Aktiviti yang dijalankan juga khas iaitu menepati kehendak ‘menjadikan pulih’.
·         Pendidikan Pemulihan adalah satu bentuk pendidikan untuk membetulkan sesuatu yang kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang cacat.

1.2. AMALAN PENDIDIKAN PEMULIHAN DI MALAYSIA
1.2.1.   RASIONAL DAN OBJEKTIF PEMULIHAN
1.2.1.1.       RASIONAL

·         Dari sudut “Falsafah”
Pelaksanaan program pemulihan khas akan memenuhi keperluan setiap murid yang ketinggalan kerana tidak dapat belajar sepenuhnya dalam kelas biasa. Oleh itu, ianya adalah selaras dengan konsep “Pendidikan Untuk Semua”
·         Dari sudut “Teori”
Pendekatan pengajaran seperi “Prescriptive-Diagnostic Teaching”, “Precision Teaching”, dan Clinical teaching” telah terbukti berjaya. Oleh itu, langkah-langkah dalam pendekatan di atas telah dijadikan asas pelaksanaan program ini.
·         Dari sudut “Pencegahan”
Masalah yang dialami oleh setiap murid akan bertambah dan semakin menyulitkan jika tidak ditangani dengan segera. Jadi pelaksanaan program ini amatlah diperlukan bagi memenuhi tuntutan tersebut.

1.2.1.2.       OBJEKTIF

·         Membantu murid-murid mengatasi masalah-masalah dalam penguasaan kemahiran-kemahiran asas dengan pendekatan, kaedah, bahan-bahan pengajaran alternatif selaras dengan keupayaan dan potensi serta minat mereka.
·         Memberi khidmat layanan dan perhatian individu dari segi pembelajaran  mengikut kadar perkembangan intelek kanak-kanak yang berbeza di antara satu dengan yang lain.
·         Memperkembangkan potensi murid-murid semaksimum mungkin.
·         Meneruskan proses pembelajaran murid-murid dalam sistem persekolah biasa.
·         Membantu memupuk dan memperkembangkan konsep kendiri dan sikap positif terhadap pelajaran.
·         Membantu menyelesaikan masalah sikap dan tingkah laku yang negatif, yang boleh menjejaskan pelajaran.
·         Menyuburkan emosi, mental, sosial dan intelek terutama bagi murid-murid yang datang daripada keluarga yang bermasalah.
·         Memberi peluang atau keseronokan kepada murid-murid untuk belajar dan merasa gembira di atas kejayaan dan kemajuan yang dicapai.

1.2.2.   PELAKSANAAN PEMULIHAN
Program pemulihan merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid-murid yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira. Dalam melaksanakan program tersebut ia memerlukan satu proses yang saling berkaitan di antara satu sama lain. Proses yang terlibat ialah pencalonan murid, ujian saringan, ujian diagnosik dan analisis ujian dan tindakan susulan.

·         Semua sekolah rendah kecuali sekolah kecil (under enrolmen) diperuntukkan satu (1) perjawatan Guru Khas Pemulihan.
·         Peruntukan Guru Khas Pemulihan tidak termasuk dalam perkiraan peruntukan guru asas (n x 1.5).
·         Guru Khas Pemulihan tidak terlibat sebagai guru penganti kepada guru asas atau sebagai guru kelas sesuatu darjah. 
·         Guru Khas Pemulihan berkhidmat sepenuh masa melaksanakan program pendidikan pemulihan. 
·         Program pendidikan pemulihan perlu mendapat kelulusan bertulis daripada Pengarah Pendidikan Negeri.

1.2.3.   PERBEZAAN PEMULIHAN KHAS DAN PEMULIHAN DALAM KBSR
·         KBSR menyarankan agar kaedah kumpulan digunakan untuk melaksanakan program KBSR dalam kelas. Sehubungan dengan itu, murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan cerdas, sederhana dan lambat. Pembahagian kumpulan ini dilakukan dengan adanya penilaian.
·         Kumpulan cerdas dan sederhana bolehlah menjalani aktiviti pengayaan.
·         Kumpulan lambat akan diberikan pendidikan pemulihan dalam kelas biasa, selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pemulihan dalam kelas biasa juga merupakan pemulihan dalam KBSR. Ia adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira.
·         Selepas kumpulan lambat menjalani aktiviti pemulihan dalam kelas biasa, mereka akan dinilai. Bagi yang berjaya, mereka akan diberikan program pengayaan seperti yang dilakukan kumpulan cerdas dan sederhana.
·         Bagi yang belum melepasi penilaian, mereka akan ditempatkan dalam satu kelas khas dan diberikan satu program pemulihan yang disediakan oleh guru pemulihan.
·         Pemulihan khas ialah tindakan-tindakan pendidikan khas yang digunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran, kanak-kanak pemulihan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau pusat pemulihan khas secara sambilan, atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan.